Apr 15, 2013

Jangan MENJUAL tapi MEMBANTU


Antara perkara yang menarik minat saya adalah katanya ‘JANGAN MENJUAL’. Ia Jangan Menjual tapi fokus kepada membantu. Kenapa pula perlu membantu? Ini menurut beliau dalam perniagaan, 2 matlamat asas kepada perniagaan adalah

i.                     Bantu selesaikan masalah orang lain

ii.                   Menambah nilai kepada hidup orang lain

Inilah yang dimaksudkan oleh Dr Azizan, katanya kena berkongsi sama apa juga yang kita lakukan dengan orang lain. Bantu selesaikan apa masalah yang ditanggungnya dan memberi nilai tambah kepada kehidupan orang lain. Yang perlu diutamakan terlebih dahulu dalam melakukan jualan sebelum memikirkan pulangan yang bakal kita hadapi.

Satu konsep yang betul dan benar. Sebelum menikmati keuntungan yang banyak, bantu dan tolong orang terlebih dahulu. Fikirkan kebajikan dan bantuan pada orang lain sebelum boleh fikirkan keuntungan yang bakal kita perolehi. Seperti konsep berdakwah, jangan difikirkan kesukaran kita melakukan dakwah kepada orang tetapi fikirkan berapa ramai yang boleh dimanfaatkan ilmu yang telah kita dakwahkan ke jalan yang benar lagi lurus perbetulkan hidup dan kesetiaan kepada yang Maha Esa. Memang akan terjadi dan berlaku banyak dugaan, cabaran dan dugaannya tidak terperi. Tapi ganjarannya? Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Kerana itu apabila kita hendak melakukan jualan apa yang harus kita lakukan adalah

i.                     Niat dengan betul supaya tindakan kita diperbetulkan dahulu.

ii.                   Bantu dan tolong seramai yang mungkin

iii.                  Fikirkan pada orang lain dahulu sebelum fikirkan tentang diri kita terlebih dahulu. Senang mereka senang juga kita nanti.

iv.                 Mendidik diri kita agar tidak tamak dan pentingkan diri sendiri

v.                   Keuntungan akan datang dengan sendirinya apabila orang telah berpuas hati dengan apa yang telah kita jualkan

vi.                 Ganjaran Allah akan kita peroleh kerana niat dan tindakan kita terlebih dahulu adalah untuk membantu dan memenuhi apa yang mereka mahukan dan perlukan

vii.                Untung di dunia untung di akhirat

Suatu kisah yang diriwayatkan oleh 'Umar bin Jabir, pada suatu hari, di waktu tengah hari beliau ('Umar bin Jabir) sedang berehat-rehat bersama-sama Rasulullah, tiba-tiba datang satu kaum yang sangat miskin dalam kehidupan seharian pekerjaan mereka sebagai pemburu, di mana keadaan ekonomi ketika itu sangat susah dan lemah. Rasulullah amat simpati dan berubah wajah baginda menampakkan kesedihan. Oleh kerana kaum ini sangat mundur dan berhajat kepada pertolongan pada waktu itu, maka Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumah kediamannya, kemudian beliau keluar dan menyuruh Bilal melaungkan azan dengan tujuan memanggil orang ramai supaya berhimpun. Kemudian Rasulullah sembahyang sunat dua rakaat dan baginda terus berpidato dengan tujuan meminta dan menyeru kepada orang ramai agar memberi pertolongan dan bantuan kepada kaum yang datang supaya dapat melapangkan keadaan ekonomi kaum tersebut. 

Tidak lama kemudian datanglah seorang lelaki bersedekah dengan memberi wang ringgit, pakaian dan juga bahan-bahan makanan, selepas itu diikuti beberapa orang lelaki yang terdiri daripada golongan Ansar dengan memberi bantuan seperti makanan, pakaian yang secukupnya kepada kabilah tersebut, sehinggalah Rasulullah s.a.w. berkata: "Bersedekahlah kamu walaupun sebiji buah tamar", kata-kata Rasulullah itu memperlihatkan wajahnya kembali bersinar putih bersih tanda kegembiraan di atas sambutan oleh orang ramai itu, kemudian Rasulullah bersabda:

Sesiapa yang menyumbang ke arah pembangunan Islam akan satu sumbangan yang baik, maka baginya pahala di atas apa yang disumbangkan dan pahala sesiapa yang beramal dengan sumbangan tersebut dengan tidak mengurang sedikit pun pahala mereka, dan sesiapa yang menyumbang dalam Islam ke arah keburukan adalah baginya dosa dan dosa orang yang beramal dengannya selepas dari mereka, tanpa mengurang sedikit pun dosa mereka yang sedia ada’ (Riwayat Muslim)

Pengajaran daripada hadis di atas dapat difahami bagaimana Rasulullah membuka jalan sebagai laluan kepada orang Islam untuk menolong saudaranya yang dalam kesusahan, kegawatan ekonomi, menghadapi situasi mengharungi arus kehidupan, serta membasmi kemiskinan dan kefakiran dengan apa sahaja yang mampu diberi sebagai tanda simpati serta menghulur bantuan sama ada makanan, pakaian ataupun wang ringgit.

Imam Malik pernah berkata ‘Apabila seseorang insan itu tidak memperlihatkan kebaikan pada dirinya maka orang ramai tidak mengakui kebaikan padanya’.

Firman Allah SWT bermaksud “Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan, dan takut oleh mu akan Allah. Sesungguhnya Allah akan mengenakan seksaan yang amat dahsyat’. (Surah Al-Maidah: 2)

Sabda Rasulullah SAW ‘Allah akan sentiasa membantu hamba Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain’ (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Jadi tunggu apa lagi, jelas di paparkan di sini betapa terlalu banyak kebaikannya dalam kita membantu dan menolong pada orang yang benar-benar memerlukannya. Bantu seramai yang termampu dan ketepikan seketika berapa banyak komisen yang akan kita peroleh. Lagi banyak yang kita bantu lagi banyaklah perolehan yang bakal kita peroleh. Jangan gentar dan jangan dirisaukan. Kerana ini semuanya janji Allah kepada kita atas ganjaran dari Nya untuk kita hanya disebabkan niat dan perbuatan kita untuk membantu dan menolong orang seramai yang termampu.
 


No comments :

Post a Comment

terima kasih sudi baca dan komen