Nov 1, 2011

Saat Kelahiran Bayi

Akhirnya, tiba juga hari yang dinanti-nantikan. Setelah 9 bulan mengandungkan cahaya mata anda, sudah pastinya, inilah hari yang paling mendebarkan dan bakal menggembirakan anda. Sekarang anda di bilik bersalin. Perasaan mula berdebar, bertambah berdebar apabila mendengar suara pesakit yang sedang sakit ingin melahirkan bayi di sebelah bilik bersalin anda, tiba-tiba anda pula terbayangkan proses kelahiran yang perlu anda lalui. Bagaimana mengatasi perasaan berdebar-debar dan gemuruh ini.

Bertenang, apa yang penting sekarang ini adalah ingatkan kembali apa yang anda telah pelajari berkaitan dengan proses kelahiran, kerana ia akan anda praktikan sebentar lagi. Mungkin ini akan membuatkan anda berasa lebih tenang, dan bersedialah menghadapinya. Ikutlah nasihat dan arahan dari Doktor dan Jururawat yang bertugas. Percayalah, segala sesuatu yang bermula pasti akan berakhir. Apa yang penting, tabahkan hati, kuatkan semangat dan berdoalah kepada Allah agar memudahkan proses kelahiran ini. Insya Allah dengan izin Nya segalanya akan menjadi mudah, Insya Allah.

Mengenali Tanda-Tanda Kelahiran

Pada waktu ini, sememangnya, anda boleh melahirkan bayi anda pada bila-bila masa sahaja. Namun begitu, anda perlulah bijak membezakan antara tanda-tanda kelahiran palsu dengan yang betul. Harus diakui, sememangnya agak sukar untuk membezakan antara kontraksi palsu dengan kontraksi yang sebenar.

Sebagai panduan, kelahiran sudah hampir apabila:

Rasa sakit ketika kontraksi bermula dari rahim di bahagian atas, lalu merebak ke bahagian atas tulang kemaluan. Lama-kelamaan kontraksi akan menjadi teratur, serta kesakitannya semakin kuat. Keluar cairan jernih, berwarna putih kekuningan, dan banyak jumlahnya. Ini adalah air ketuban yang pecah dari vagina, keluar lendir bercampur darah.

Fasa 1:
Bermula dari tanda-tanda persalinan dan berakhir ketika pembukaan mulut rahim sudah lengkap.

Seiring dengan terjadinya kontraksi, mulut rahim membuka secara perlahan. Sebagai panduan, pembukaan jalan lahir biasanya diukur dengan sentimeter (cm). Misalnya, pembukaan 3 bererti mulut rahim sudah membuka sebesar 3 cm. Pada pembukaan 8, anda sudah memasuki tahap peralihan. Pada tahap ini, kontraksi sudah agak cepat dan jaraknya lebih pendek, iaitu setiap 2 minit. Pada waktu ini, kepala bayi sudah berada di jalan lahir dan mulut rahim hampir membuka penuh. Tetapi, anda belum boleh meneran, walaupun kepala bayi sudah mula menolak. Kalau dipaksakan juga, ia akan menyebabkan laluan kelahiran terkoyak. Meneran hanya boleh dilakukan apabila pembukaan mulut rahim sudah sempurna, iaitu 10 cm. Berapa lamakah waktu berlangsungnya tahap ini? Ianya berbeza-beza. Untuk kelahiran anak pertama, biasanya, kontraksi akan berlaku diantara 5 jam - 24 jam. Tetapi, bagi kelahiran anak kedua, kontraksi akan berlaku lebih cepat, iaitu 2 jam - 6 jam.

Fasa 2:
Bermula dari saat pembukaan mulut rahim secara penuh hingga kelahiran bayi

Ini adalah pengakhiran bagi “perjalanan” si kecil anda. Ia sudah bersedia untuk dilahirkan. Anda sudah boleh mula meneran. Untuk memudahkan proses pengeluaran kepala bayi, proses meneran haruslah serentak dengan datangnya kontraksi. Oleh itu, ikuti petunjuk doktor agar segala-galanya berjalan dengan lancar. Pada kebiasaannya , tahap ini akan berlangsung sekitar 2 jam, namun begitu ianya boleh menjadi lebih cepat jikalau anda sudah bersedia melahirkan bayi anda. Pada saat proses kelahiran berlangsung, perineum (antara anus dan vagina) akan meregang dan cenderung merobek. Kalau ini terjadi, doktor akan menggunting perineum anda agar robekan teratur. Pada kebiasaannya, setelah kepala bayi mula menonjol, secara automatik ia akan meluncur sehingga bahu dan bahagian tubuh lainnya akan meluncur keluar dengan mudah.

Fasa 3:
Bermula dari kelahiran sehingga keluarnya plasenta.

Tahap ini biasanya berlangsung selama 20 minit. Pada waktu ini, anda masih mengalami kontraksi. Malahan, kontraksi tersebut akan memudahkan keluarnya plasenta. Biasanya , anda akan diminta untuk meneran lagi. Untuk mengetahui apakah plasenta sudah lepas atau belum, doktor akan “menekan” di bahagian bawah perut anda. Setelah plasenta “dikeluarkan”, doktor akan melakukan penjahitan perineum. Ini hanya akan dilakukan jikalau pengguntingan perineum ada dilakukan sebelum ini atau terdapat robekan di perineum yang berlaku secara spontan.

Alhamdulillah... Aku sudah menjadi ibu

Melahirkan si kecil sudah pastinya menjadi saat yang tidak boleh anda lupakan. Setelah 9 bulan mengandungkannya, kini tibalah masanya untuk anda bersemuka dengan si kecil anda. Ia amat bererti, dan inilah satu tanggungjawab besar yang baru menanti anda. Kini, sudah tiba saatnya anda bergelar seorang ibu. Pastinya. Ianya sesuatu yang sangat-sangat membahagiakan. Alhamdulillah.


Ya Allah.hari ku semakin hampir untuk 'deliver' baby.Engkau permudahkanlah segalanya Ya Allah. Amin

No comments :

Post a Comment

terima kasih sudi baca dan komen