Pengunjung dan pelanggan adalah sesuatu yang berbeza. Setiap pelawat yang datang mengunjungi laman web perniagaan anda dipanggil sebagai pengunjung anda tetapi belum tentu lagi mereka akan membeli dan mendapatkan produk anda. Manakala mereka yang membeli produk anda barulah dipanggil sebagai pelanggan.
Yang mana satukah paling penting anda perlu jaga dan hargai? Sudah pastilah kedua-duanya anda perlu jaga dan hargai dengan sebaik-baiknya. Tetapi anda perlu lebih utamakan kepada pelanggan. Ada beberapa tip untuk mendapatkan dan menawan hati pelanggan untuk mendapatkan produk anda. Antaranya ialah :
1. Harga yang munasabah.
Ini adalah antara sebab utama bagaimana untuk anda dapatkan pelanggan dengan mudah. Pengguna masa kini adalah pengguna yang bijak dan kebanyakan daripada mereka akan membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Oleh itu, anda perlu tawan bakal pelanggan anda dengan memberikan produk anda pada harga yang munasabah dan bersesuaian dengan kualiti produk tersebut.
2. Beri sesuatu yang lebih.
Anda perlu berikan sesuatu yang lebih daripada apa yang sepatutnya pelanggan anda dapat. Dengan cara ini pelanggan anda akan berasa lebih gembira kerana mereka rasa berbaloi kerana mendapat lebih dari apa yang mereka sangkakan. Secara tidak langsung anda dapat meluaskan pasaran anda dengan lebih luas lagi kerana pelanggan tersebut berkongsi pengalaman mereka dengan kenalan-kenalan dan ahli keluarga mereka.
Dengan promosi mulut ke mulut ini, bakal pelanggan anda akan lebih mempercayai untuk membeli produk anda kerana mereka telah dikenalkan dengan produk tersebut oleh rakan mereka sendiri. Selain itu, anda boleh memberikan kupon diskaun kepada pelanggan anda untuk mereka membuat pembelian di masa akan datang. Ia juga amat memberi kesan dan impak yang sangat besar.
3. Pemasaran yang efektif
Aktiviti pemasaran dan pengiklanan yang efektif adalah umpama nadi utama untuk sesebuah perniagaan. Jika kena pada cara dan tempatnya, amat mudah untuk anda mendapatkan pelanggan dalam masa yang singkat sahaja.
Apa yang perlu anda buat adalah dengan mengumpulkan kumpulan sasaran yang tepat. Jika anda menjual aiskrim kepada orang Eskimo, maka itu adalah perbuatan yang amat sukar.Tetapi jika anda menjual aiskrim kepada pengembara yang sesat di Gurun, adalah perbuatan yang amat mudah. Malah mereka ini sanggup membayar walau dengan harga RM20 bagi aiskrim yang modalnya hanya 20 sen sahaja.
Yang keduanya pula adalah semasa anda membuat promosi. Anda perlu fokus pada bagaimana anda dapat membantu menyelesaikan masalah pelanggan. Anda perlu memberitahu mereka apakah keuntungan dan kelebihan kepada mereka jika mereka mendapatkan produk yang anda promosikan kepada mereka. Anda perlu kurangkan fokus pada kelebihan produk tersebut. Anda perlu lebih fokus untuk memberitahu bahawa prospek akan lebih baik, hebat, sihat, bergaya, berkuasa, kaya dan berpengaruh jika mendapatkan produk anda.
4. Produk yang berkualiti tinggi.
Ini juga adalah salah satu aspek kejayaan dalam sesuatu perniagaan. Dengan produk yang berkualiti, adalah amat mudah untuk anda menawan bakal pelanggan anda supaya mereka mendapatkan produk yang anda jual. Jika sebaliknya, produk anda mempunyai kualiti yang rendah, secara tidak langsung, kuasa word of mouth akan menjatuhkan kredibiliti pada produk anda kerana pelanggan yang tidak berpuas hati akan menyebarkan keburukan produk anda kepada calon-calon pelanggan anda yang akan datang.
Jika anda dapat menawan pelanggan anda dengan produk yang berkualiti tinggi, secara tidak langsung ia akan memberi keuntungan kepada anda untuk jangka masa yang panjang.
Sekiranya bakal pelanggan menghubungi anda, anda hendaklah melayan mereka dengan cepat dan berikan perkhidmatan yang terbaik. Jika kita tengok sekarang ini, tidak hairanlah mengapa restoran-restoran makanan segera seperti KFC, McDonald, Pizza Hut dan lain-lain mendapat permintaan yang tinggi. Ini adalah kerana pelanggan sememangnya tidak suka untuk menunggu lama!
5. Penjenamaan yang hebat!
Penjenamaan juga adalah amat penting dalam apa jua perniagaan. Walaupun anda hanya menjual pisang goreng sekali pun, anda perlu mempunyai jenama yang hebat untuk berjaya dan dikenali ramai. Dengan adanya jenama yang kuat dan sentiasa diingati dalam minda pelanggan, perniagaan anda akan memberikan impak yang sangat besar dalam pasaran. Secara tidak langsung juga, jenama yang anda bina itu akan menguatkan lagi nama produk tersebut untuk lebih dikenali oleh pelanggan-pelanggan baru.
Sekiranya jenama produk tersebut berjaya untuk memenangi hati pelanggan, dengan secara tidak langsung nama produk itu juga akan sentiasa dikenali dan berada dalam minda pelanggan itu sendiri. Walaupun proses ini agak mengambil masa yang agak lama, terutama sekali jika produk tersebut adalah baru yang ingin bersaing dengan produk yang sedia ada dalam pasaran, namun masih tidak terlewat untuk anda bekerja lebih keras untuk memastikan aktiviti penjenamaan itu berlaku seiring dengan pertumbuhan perniagaaan anda.
credit to : Irfan Khairi
No comments :
Post a Comment
terima kasih sudi baca dan komen